Unit amanah semakin popular beberapa tahun kebelakangan ini. Ini kerana unit amanah merupakan jalan bagi pelabur kecil untuk meluaskan kepelbagaian pelaburan tanpa perlu had jumlah wang yang dilaburkan. Manfaatnya pula bukan setakat itu sahaja.
Tetapi, apakah unit amanah?
1. Unit Amanah merupakan suatu alat pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Dana tersebut akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Dana Unit Amanah.
2. Unit amanah merupakan skim pelaburan yang mengumpulkan wang daripada ramai pelabur yang berkongsi matlamat kewangan yang sama. Sebagai pertukaran kepada wang itu, dana menerbitkan unit kepada pelabur yang dikenali sebagai pemegang unit. Pemegang unit boleh menjual semula (iaitu menebus) unit mereka kepada dana, atau membeli (dan menjual) unit seterusnya.


